Jumaat, 22 April 2022 | 3:41pm

Wanita pengsan ketika dibacakan pertuduhan aniaya cucu

GEORGETOWN: Seorang wanita yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menganiayai cucunya yang berusia lima tahun, tiba-tiba pengsan sehingga menyebabkan prosiding tertangguh seketika.

Rosnah V S Mydin, 48, rebah dalam kandang tertuduh ketika pertuduhan terhadapnya sedang dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Bagaimanapun, prosiding kemudian diteruskan semula selepas seorang doktor yang kebetulan berada di dalam mahkamah sama, memeriksa kesihatan wanita itu.

Pada prosiding itu, Rosnah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiayai kanak-kanak lelaki itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Flat Padang Tembak dalam daerah Timur Laut, bulan ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali,

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Wan Amira Ruzaini memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dikhuatiri akan mengganggu saksi yang juga ahli keluarga mangsa, namun tertuduh dalam rayuannya mendakwa menghidap pelbagai penyakit kronik, antaranya sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Mazdi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan hingga perbicaraan, menyerahkan pasport serta tidak dibenarkan mengganggu saksi perbicaraan kes itu.

Mahkamah juga menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam dan serahan dokumen.

Rosnah didakwa menganiayai seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang juga cucunya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal. - NSTP/MIKAIL ONG-
Rosnah didakwa menganiayai seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang juga cucunya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal. - NSTP/MIKAIL ONG-
Berita Harian X