Jumaat, 22 April 2022 | 11:21am

Polis menjejak pemandu Preve lawan arus

SEREMBAN: Polis sedang mengesan pemandu kereta Proton Preve yang dilihat dipandu secara melawan arus di Kilometer (KM) 13.2, Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) arah utara, di sini, kelmarin.

Rakaman kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 11.15 pagi kelmarin itu tular di platform TikTok dan Facebook, sejak pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata pihaknya belum mengenal pasti identiti pemandu kereta berwarna hitam itu, namun sedang menjejakinya.

"Kira-kira jam 8 malam tadi, polis mengesan satu video tular berdurasi 19 saat di media sosial Facebook yang memaparkan satu kejadian sebuah kereta dipercayai Proton Preve berwarna hitam yang dipandu secara melawan arus di SPDH.

"Siasatan lanjut mendapati kejadian tular itu berlaku jam 11.15 pagi kelmarin. Kereta ini bergerak di lorong kecemasan secara melawan arus menuju ke arah utara," katanya kepada BH, hari ini.

Rakaman yang tular itu dipercayai dirakam pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan itu yang mana ia memaparkan kereta berkenaan dipandu melawan arus sambil kelihatan kenderaan menghidupkan lampu isyarat kecemasan (double signal).

Nanda berkata, perbuatan itu boleh mendatangkan bahaya kepada pemandu itu sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Justeru, pihak polis sedang mengesan pemandu kereta terbabit memandangkan identitinya kini belum dapat dikenal pasti. Individu ini diminta untuk tampil menyerahkan diri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Maklumat mengenai kejadian ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban, Inspektor Sankar di talian 014-6000353.

Rakaman tular memaparkan pemandu kereta Proton Preve dipandu secara melawan arus di Kilometer 13.2, Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) arah utara, di sini, kelmarin. NSTP/Ihsan Pembaca
Rakaman tular memaparkan pemandu kereta Proton Preve dipandu secara melawan arus di Kilometer 13.2, Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) arah utara, di sini, kelmarin. NSTP/Ihsan Pembaca
Berita Harian X