Jumaat, 22 April 2022 | 10:29am

Warga Singapura ditahan memandu mabuk

JOHOR BAHRU: Pemandu warga Singapura antara dua individu yang ditahan polis dalam Op Mabuk yang dijalankan di sekitar kawasan Taman Tun Aminah di Jalan Sutera Danga di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, berkata kedua-dua mereka ditahan dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, tiga lagi pemandu yang diperiksa dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah JBU tidak dikenakan tindakan selepas ujian ke atas mereka didapati negatif.

"Kesalahan dua individu berkenaan akan disabitkan bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020)," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Rupiah berkata, sebanyak 61 kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan dan pihaknya mengeluarkan sebanyak 23 notis saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Katanya, antaranya 14 notis saman kesalahan melanggar isyarat lampu merah.

"Satu notis saman atas kesalahan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi. Lima notis saman kesalahan menggunkan alat komunikasi.

"Satu notis saman kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu notis saman kesalahan tidak memiliki lesen memandu," katanya.

Berita Harian X