Khamis, 21 April 2022 | 3:46pm

Pemuda hadapi 3 pertuduhan kes rogol, pornografi

KOTA BHARU: Seorang pemandu jentera berat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan dalam semak, mengedar gambar pornografi mangsa dan memiliki video pornografi kanak-kanak.

Tertuduh, Muhammad Naziman Rosdi, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun lima bulan, dalam semak di Pantai Kemasin, Bachok, jam 3 petang 14 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengedar gambar pornografi mangsa, kepada bapa remaja itu yang berusia 36 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Telok Merbau, Perupok dekat Bachok, jam 2.30 petang 11 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan tiga sebatan, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan ketiga, Muhammad Naziman didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak dalam telefon bimbitnya ketika berada di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, jam 8.30 malam 13 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Abu Arsalnaa tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Namun, Muhammad Naziman dalam rayuan pula memohon mahkamah membenarkan dirinya diikat jamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Pada masa sama, mahkamah menetapkan bahawa tertuduh perlu mematuhi syarat tambahan, iaitu tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di Balai Polis Bachok setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 24 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Muhammad Naziman didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Muhammad Naziman didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X