Khamis, 21 April 2022 | 3:07pm
Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan mencabul anak perempuannya sejak Julai tahun lalu sehingga 8 April tahun ini di sebuah rumah di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) di Kuala Krai. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan mencabul anak perempuannya sejak Julai tahun lalu sehingga 8 April tahun ini di sebuah rumah di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) di Kuala Krai. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Bapa dipenjara 20 tahun, lapan sebatan kerana cabul anak

KOTA BHARU: Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan mencabul anak perempuannya sejak Julai tahun lalu sehingga 8 April tahun ini.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 36 tahun mengaku bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual mencabul anak perempuannya ketika mangsa berusia 13 tahun 11 bulan sehingga 14 tahun lapan bulan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) di Kuala Krai jam 1.30 pagi hingga jam 2.30 pagi pada awal Julai tahun lalu, 2 April, 7 April dan 8 April 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Aka Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Abu Arsalnaa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

"Tertuduh sepatutnya menjaga dan membela anaknya daripada sebarang bahaya. Mohon satu hukuman yang setimpal," katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman bagi keempat-empat pertuduhan yang bakal dihadapinya berjalan secara serentak.

"Saya merayu jasa baik mahkamah meringankan hukuman kerana mempunyai isteri dan enam anak. Kesemua ahli keluarga ini berada di bawah jagaan dan tanggungan saya," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan bagi keempat-empat pertuduhan.

Berita Harian X