X
Khamis, 21 April 2022 | 10:36am

Lebuhraya KL-Seremban lokasi pilihan mat rempit

KUALA LUMPUR: Lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban kini menjadi antara lokasi pilihan mat rempit yang menjadikannya sebagai litar lumba tidak terhad pada hujung minggu.

Ini terbukti selepas polis menerusi Op Samseng Jalanan menahan empat lelaki kerana melakukan aksi berbahaya ala 'superman', awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata pemantauan dan risikan sebelum itu dijalankan pasukan JSPT Bukt Aman bermula jam 10.30 malam hingga 7 pagi.

Menurutnya, ketika rondaan dijalankan di lebih raya berkenaan, polis terserempak dengan sekumpulan penunggang motosikal yang berlumba.

Beliau berkata, selain menunggang dalam kelajuan tinggi, suspek juga dikesan melakukan aksi yang boleh membahayakan nyawa dan pengguna jalan raya lain.

"Pasukan serbuan kemudiannya mengekori semua suspek dan ditahan di beberapa lokasi berbeza di Seremban dan Sungai Besi.

"Suspek berusia 17 hingga 27 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, polis turut mengeluarkan 13 saman atas pelbagai kesalahan lain yang dilakukan suspek.

Katanya, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Serdang untuk tindakan lanjut.

"Polis akan terus memantau kegiatan lumba haram ini setiap masa bagi memastikan aktiviti ini dalam dikawal secara maksimum," katanya.

Berita Harian X