Rabu, 20 April 2022 | 7:40pm
Pix hiasan
Pix hiasan

Pengendali tapak pelupusan sanitari di Port Dickson didenda RM22,000

SEREMBAN: Pengendali tapak pelupusan sanitari di Ladang Tanah Merah, Mukim Jimah, Port Dickson, dekat sini, didenda RM22,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini atas kesalahan tidak patuh Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pengendali tapak pelupusan berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JSNS), Azuri Azizah Saedon, berkata hakim menjatuhkan hukuman itu selepas syarikat berkenaan selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili peguam, mengaku bersalah di atas satu pertuduhan pilihan yang disabitkan kepadanya.

Katanya, kesalahan dilakukan syarikat yang beroperasi di atas Lot 7212 Ladang Tanah Merah, Mukin Jimah Port Dickson adalah pada 26 Jun 2020.

"Pertuduhan dilakukan di bawah Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal dan Kambus Tanah) 2009.

"Kesalahan membabitkan gagal mematuhi syarat-syarat yang boleh diterima sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua peraturan tersebut bagi parameter BOD, Nitrogen Ammonia dan Mangan.

"Syarikat berkenaan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM22,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda," katanya dalam satu kenyataan, di sini, petang ini.

Azuri Azizah berkata, ketika prosiding hari ini pihak pengendali terbabit diwakili Pengurus Loji Rawatan bersama peguam dilantik mereka.

Katanya, JAS Negeri Sembilan akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk aktiviti atau penjenayah alam sekitar.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan pencemaran alam sekitar melalui Portal e-aduan.doe.gov.my (https://eaduan@doe.gov.my), talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Emel aduan_k@doe.gov.my," katanya.

Berita Harian X