Rabu, 20 April 2022 | 1:30pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pemilik syarikat pembinaan, pengurus besar direman kes tuntutan palsu RM150,000

JOHOR BAHRU: Seorang pemilik syarikat pembinaan dan seorang pengurus besar syarikat pangkalan pelabuhan direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu dianggarkan berjumlah hampir RM150,000.

Perintah reman bermula hari ini hingga Ahad, dikeluarkan oleh Majistret Zuhainie Zull Kafli selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan pada pagi tadi.

Terdahulu, SPRM Johor dilaporkan menahan seorang pemilik syarikat pembinaan dan seorang pengurus besar syarikat pangkalan pelabuhan.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 30 dan 39 tahun itu, ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira jam 6.00 petang semalam dan 8.30 malam tadi, selepas hadir memberi keterangan.

Difahamkan pada tahun lalu, pengurus besar syarikat pangkalan pelabuhan itu didakwa meluluskan tiga tuntutan pembekalan dan pemasangan kabin daripada pemilik syarikat pembinaan berkenaan, sedangkan ia tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Sementara itu Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Berita Harian X