Rabu, 20 April 2022 | 9:20am

Pemilik syarikat, pengurus besar ditahan kes tuntutan palsu RM150,000

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pemilik syarikat pembinaan dan seorang pengurus besar sebuah syarikat pangkalan pelabuhan bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu dianggarkan berjumlah hampir RM150,000.

Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki masing-masing berusia 30 dan 39 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira jam 6 petang semalam dan 8.30 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada tahun lalu pengurus besar syarikat pangkalan pelabuhan berkenaan meluluskan tiga tuntutan pembekalan dan pemasangan kabin daripada pemilik syarikat pembinaan terbabit, sedangkan ia tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan mengenai kedua-dua penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi mendapatkan permohonan reman.

Berita Harian X