Selasa, 19 April 2022 | 7:08pm

11 pemilik syarikat didenda RM15,000, kemuka penyata akuan palsu

KOTA KINABALU: Sebelas pemilik syarikat masing-masing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, hari ini selepas mengaku mengemukakan penyata akaun palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan bekalan makanan bermasak asrama sekolah bernilai lebih RM25.79 juta.

Rosnah Lutok ,33; Menly Masikar, 31; Erar Angsabung, 53; Tekenah Aring, 36; Naima Omopor, 47; Darius Pengeran, 29; Amira Atirah, 25; Irwan Gintaun, 34; Asrin Songorou, 29; Pulali Angsabung, 31; dan Sahadi Andawai, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mereka didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu penyata bank yang dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk mendapatkan tender di bawah Kementerian Pendidikan di beberapa daerah di negeri itu.

Setiap tertuduh berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan mereka membayar denda itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurul Izzati Sapifee manakala semua tertuduh diwakili peguam, Datu Baginda Datu Laja.

Di mahkamah sama, dua lagi individu mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender membekal dan menghantar bahan makanan ke Hospital Kota Belud untuk 2017 hingga 2018 berjumlah lebih RM1.29 juta.

Emeylina Tanggauh, 38, dan sepupunya Faizal Mingin, 40, turut didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama.

Kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didenda RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Mereka membayar denda itu. – BERNAMA

Berita Harian X