Isnin, 18 April 2022 | 10:42am

Polis rakam keterangan individu berbuka puasa di jambatan

KUALA BERANG: Polis sudah mengambil keterangan sekumpulan lelaki yang dikesan berbuka puasa di Jambatan Kampung Dusun di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata pihaknya sudah memanggil lima daripada 11 lelaki yang terbabit sebaik mengesan penyebaran video berdurasi 12 saat di aplikasi Tik Tok kelmarin.

Katanya, mereka yang berusia antara 19 hingga 26 tahun dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk diambil keterangan mengenai kejadian itu.

"Kita tidak mengambil sebarang tindakan sebaliknya hanya memberi nasihat kepada kumpulan berkenaan.

"Bagaimanapun, tindakan saman dibawah Kaedah 50 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN 166/1959) boleh dikenakan jika mereka atau ada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan sama.

"Kita memandang serius isu sebegini kerana ia bukan hanya berisiko kepada individu itu sendiri tetapi pengguna jalan raya yang lain.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dikesan tidak mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berita Harian X