Ahad, 17 April 2022 | 7:08pm

Lelaki lemas ketika mandi di Sungai Kiulu

TUARAN: Seorang lelaki lemas ketika mandi di Sungai Kiulu di Kampung Rugading Kiulu di sini, bersama seorang rakan lain petang tadi.

Mangsa, 26, disahkan meninggal dunia selepas ditemui penduduk kampung yang membantu pencarian mangsa kira-kira jam 4.30 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata 10 anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan bersama satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Sebaik tiba, dua sahabat yang dilapor lemas itu sudah ditemui penduduk kampung, namun seorang daripadanya tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Tuaran."

"Seorang lagi mangsa berusia lingkungan 20-an sempat diselamatkan, namun mengadu sesak nafas dan diberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Tuaran," katanya ketika dihubungi.

Abdul Qawie berkata, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X