Sabtu, 16 April 2022 | 8:13pm
Anggota polis memeriksa di lokasi kejadian di mana mayat kanak-kanak berusia empat tahun maut terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Setapak.
Anggota polis memeriksa di lokasi kejadian di mana mayat kanak-kanak berusia empat tahun maut terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Setapak.

Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh kondominium

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Jalan Saujana 2, Setapak di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan maklumat mangsa yang tinggal di salah sebuah unit di tingkat 18 kondominium terbabit, terjatuh dari balkoni rumahnya.

"Polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 2 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

"Siasatan awal mendapati mangsa tidur bersendirian dan ketika kejadian, ibunya difahamkan keluar dari rumah.

"Pada waktu sama, penghuni lain di dalam rumah itu sedang tidur di bilik berasingan dan tidak mengetahui mangsa ditinggalkan bersendirian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tiba di lokasi dan mayatnya dibawa ke hospital sama untuk tindakan lanjut.

Ashari berkata, kes disiasat pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Berita Harian X