X
Sabtu, 16 April 2022 | 3:03pm
 Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh
Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh

Tawaran bantuan guaman DAP belum disahut

KUALA LUMPUR: Kerani yang dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja basikal lajak lima tahun lalu, belum memberi maklum balas berhubung bantuan guaman ditawarkan DAP.

Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, berkata pihaknya masih menunggu jawapan wanita terbabit, Sam Ke Ting, 27, yang memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi.

"Kami masih menunggu respon daripada Ke Ting, kita sudah bagi tawaran untuk bantu, jadi terpulang kepada dia (sama ada untuk terima atau sebaliknya).

"Setakat ini masih tiada respon, kita masih menunggu. Andai kata dia setuju terima tawaran, kita akan bantu dia...jadi terpulang kepada dia," katanya kepada BH, hari ini.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kepada Ke Ting kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Ke Ting daripada kesalahan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Ke Ting turut diperintah menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.

Susulan keputusan itu, Biro Undang-undang Kebangsaan DAP bersedia memberikan bantuan guaman kepada Ke Ting dan pasukan peguamnya dalam memfailkan dan mendengar permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Rayuan.

Wanita terbabit kemudian memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi.

Peguamnya, Muhammad Faizal Mokhtar, dilaporkan berkata notis usul kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman difailkan menerusi sistem e-filing mahkamah.

Rayuan Ke Ting ditetapkan untuk didengar pada jam 9 pagi Isnin ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Berita Harian X