GOPENG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menyita sebuah lagi kilang memproses bahan skrap, disyaki punca pencemaran bau dipercayai bahan kimia di sekitar Simpang Pulai, Ipoh.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi negeri Mohd Akmal Kamarudin, berkata ia adalah kilang memproses skrap dan bahan buangan terjadual kedua di sita selepas satu kilang turut dikenakan tindakan sama baru-baru ini.
Katanya, ia susulan aduan dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing.
"Kita saling bekerjasama kerana agak sukar mengenal pasti punca bau kerana terdapat lebih 100 kilang di sekitar.
"Hasil kerjasama Pejabat ADUN dan orang ramai, Alhamdulillah kita dapat mengenal pasti satu kilang memproses bahan skrap.
"Namun, kilang berkenaan mungkin bukan satu-satunya yang menghasilkan bau memedihkan mata itu," katanya pada sidang media selepas hadir Program CSR Bantuan Anak Yatim Bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak di Mydin Gopeng di sini hari ini.