Sabtu, 16 April 2022 | 7:49am
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Andalas melakukan kerja menyelamat pemandu yang tersepit. - Foto NSTP/Ihsan Bomba
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Andalas melakukan kerja menyelamat pemandu yang tersepit. - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Pemandu maut nahas dua lori kontena

KLANG: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua lori kontena di Kilometer 38.6 Lebuhraya Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke Banting, malam tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata sebaik menerima panggilan berhubung kemalangan itu, pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP (Andalas) segera ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan dua lori kontena itu berlaku kira-kira jam 11.34 malam. Kejadian berlaku apabila kontena jatuh dari lori pertama dan merentangi jalan lalu dilanggar oleh lori kontena kedua yang datang dari arah bertentangan.

"Susulan kejadian itu, pemandu lori kontena kedua tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa, 36 tahun yang tersepit.

"Mangsa adalah warga tempatan diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutnya.

"Pemandu lori kontena pertama yang disahkan selamat juga seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun dan mengalami kecederaan," katanya.

Berita Harian X