Khamis, 14 April 2022 | 12:58pm
Raja Mohd Yusof dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, hari ini. - NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Raja Mohd Yusof dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, hari ini. - NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Rogol selepas kenal menerusi WhatsApp

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar sekolah menengah yang dikenalinya melalui aplikasi WhatsApp, tahun lalu.

Tertuduh, Raja Mohd Yusof Raja Husin, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun 5 bulan di sebuah rumah di Marang, kira-kira jam 3 pagi 9 September 2021.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh juga dikenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, dan tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi sepanjang tempoh prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X