Rabu, 13 April 2022 | 8:03am
Teng Yong terkorban apabila kereta dipandunya terbabas ke cerun bukit di Lebuh AMJ, awal pagi tadi. -Foto ihsan PDRM
Teng Yong terkorban apabila kereta dipandunya terbabas ke cerun bukit di Lebuh AMJ, awal pagi tadi. -Foto ihsan PDRM

Peniaga maut kereta terbabas ke cerun bukit

MELAKA: Seorang peniaga maut apabila kereta dipandunya terbabas ke cerun bukit di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), dekat Rembia, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Hoe Teng Yong, 57, mengalami kecederaan pada anggota badan dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi itu, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar, berkata polis menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 1.15 pagi.

Berdasarkan hasil siasatan, beliau berkata, kejadian berlaku ketika lelaki itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Rembia Setia dari Malim Permai.

"Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Saga Aeroback yang dipandu mangsa dipercayai terbabas ke cerun bukit di sebelah kiri jalan.

"Terdapat kesan tayar dan geseran ditemui pada permukaan jalan dua lorong yang berselekoh serta menurun bukit itu, namun tiada saksi melihat kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Nazri Mat Aris, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung nahas berkenaan pada jam 1.01 pagi.

Susulan itu, beliau berkata, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dikejarkan ke lokasi.

"Setiba di lokasi pada jam 1.09 pagi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati terdapat sebuah kereta Proton Saga Aeroback terbabas, dengan seorang mangsa lelaki tersepit.

"Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya sambil memaklumkan operasi selesai pada jam 2.30 pagi.

Berita Harian X