Selasa, 12 April 2022 | 11:07pm
Foto hiasan
Foto hiasan

SPRM tahan pengurus syarikat cuba sogok penguat kuasa

BATU PAHAT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Batu Pahat menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kerana disyaki cuba menyogok pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) berjumlah RM1,500.

Menurut sumber, suspek berusia 39 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 4.30 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pengurus syarikat cuba memberikan rasuah kepada pegawai penguat kuasa PBT sebagai dorongan untuk tidak menutup operasi syarikat milik keluarganya selepas diberikan notis arahan memberhentikan perniagaan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.20 petang tadi ketika suspek hadir di pejabat PBT terbabit bagi membuat rayuan selepas menerima notis berkenaan semalam kerana tidak memiliki lesen perniagaan yang melanggar Seksyen 109, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Berita Harian X