Selasa, 12 April 2022 | 6:11pm
Dadah jenis syabu, cecair syabu serta ganja yang dirampas dalam dua tangkapan lelaki tempatan di ibu negara, semalam. - Foto ihsan polis.
Dadah jenis syabu, cecair syabu serta ganja yang dirampas dalam dua tangkapan lelaki tempatan di ibu negara, semalam. - Foto ihsan polis.

Dua lelaki dalang edar syabu ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi dua lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di ibu negara dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk 2.012 kilogram (kg) dadah jenis syabu, semalam.

Kejayaan itu hasil tangkapan ke atas suspek pertama pada jam 3 petang semalam di tepi jalan Jalan Ampang Ulu 3 di sini, oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ahsari Abu Samah, berkata menerusi tangkapan itu, polis merampas sebuah beg berisi 10 paket plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dianggarkan sebenar 2.012 kg.

Turut dirampas, satu botol berisi 0.3 liter cecair disyaki cecair syabu serta satu paket plastik berisi ketulan mampat dan ceraian daun kering disyaki ganja seberat 36 gram dengan nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan RM74,380.

"Pada jam 3.40 petang hari yang sama, kita menahan seorang lelaki di lobi Astoria Ampang, Kuala Lumpur.

"Menerusi tangkapan ini, polis turut merampas dua kenderaan, masing-masing jenis PERODUA Myvi dan Toyota Estima milik suspek pertama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, dadah yang dirampas dipercayai boleh menampung keperluan kira-kira 4,060 penagih sekitar ibu negara.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek berumur 33 tahun dan 25 tahun dipercayai aktif dalam aktiviti pengedaran dadah syabu sejak awal April tahun lalu.

"Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis syabu," katanya.

Tambah Ashari, suspek pertama direman tujuh hari bermula hari ini hingga 18 April ini, manakala suspek kedua ditahan reman tiga hari sehingga 14 April ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis Wangsa Maju mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang membantu memberikan maklumat," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berita Harian X