Selasa, 12 April 2022 | 5:22pm
Polis merampas 36,000 biji pil kuda bernilai RM360,000 dan menahan seorang lelaki dalam serbuan berdekatan masjid Mukim Lubok Gong, di sini, semalam. - Foto NSTP/Ihsan Polis
Polis merampas 36,000 biji pil kuda bernilai RM360,000 dan menahan seorang lelaki dalam serbuan berdekatan masjid Mukim Lubok Gong, di sini, semalam. - Foto NSTP/Ihsan Polis

Lelaki ditahan miliki 36,000 pil kuda

PASIR MAS: Polis menahan seorang lelaki warga Thailand dan merampas 36,000 biji pil kuda dalam serbuan berdekatan masjid Mukim Lubok Gong, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 6.30 petang menerusi Ops Tapis Narkotik dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, polis merampas pil kuda bernilai RM360,000 yang diletakkan di dalam satu beg plastik.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata ketika operasi, polis ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang berdiri berdekatan masjid sambil memegang satu beg plastik.

Katanya, anggota yang bertugas menghampiri lelaki itu dan memperkenalkan diri sebagai polis.

"Secara tiba-tiba lelaki itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Polis bertugas melakukan pemeriksaan lanjut ke atas suspek yang juga penganggur dan merampas satu beg plastik yang

mengandungi 36,000 biji pil kuda.

"Hasil soal siasat suspek mengaku kesemua barang yang dijumpai adalah miliknya dan mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki Thailand yang dikenali sebagai 'abe' yang tinggal di Narathiwat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X