Selasa, 12 April 2022 | 2:59pm
Anggota TDM bersama lapan PATI yang ditahan ketika cuba menyusup keluar ke Indonesia di sebuah ladang sawit berhampiran sempadan Malaysia - Indonesia, semalam. - Foto ATM
Anggota TDM bersama lapan PATI yang ditahan ketika cuba menyusup keluar ke Indonesia di sebuah ladang sawit berhampiran sempadan Malaysia - Indonesia, semalam. - Foto ATM

Lapan PATI ditahan bersama senapang angin, parang

KUALA LUMPUR: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan bersama dua senapang angin serta dua bilah parang berhampiran sempadan Malaysia - Indonesia di kawasan Kandaie, Lundu, Sarawak menerusi Op Benteng, semalam.

Tangkapan dilakukan anggota Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen), Tentera Darat Malaysia (TDM) di kawasan ladang kelapa sawit Sektor Pos Kandaie, kira-kira 50 meter dari sempadan Malaysia - Indonesia, pada jam 7 pagi.

Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam kenyataan, berkata tangkapan hasil tindakan pantas anggota Pos Kawalan di Sektor Kandaie yang mengesan pergerakan mencurigakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua motosikal di kawasan ladang sawit berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan MPV itu membawa lima PATI termasuk seorang wanita yang dipercayai cuba menyeludup keluar untuk pulang ke Indonesia, manakala tiga lagi yang ditangkap berperanan sebagai tekong. Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 43 tahun.

"Pemeriksaan turut menemui dua laras senapang angin, dua bilah parang, satu tabung memproses dadah jenis syabu, telefon bimbit serta sejumlah wang tunai," katanya.

Beliau berkata, semua PATI serta barang rampasan termasuk tiga kenderaan dianggarkan bernilai RM50,000 kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X