Selasa, 12 April 2022 | 2:16pm
Wanita dipercayai mempunyai kaitan penemuan mayat di Bukit Putus, dibawa ke Bukit Zamrud di mana rangka dipercayai kanak-kanak wanita ditemui Khamis lalu. - NSTP / AZRUL EDHAM
Wanita dipercayai mempunyai kaitan penemuan mayat di Bukit Putus, dibawa ke Bukit Zamrud di mana rangka dipercayai kanak-kanak wanita ditemui Khamis lalu. - NSTP / AZRUL EDHAM

2 lagi kes dikaitkan penemuan rangka, mayat di Seremban

SEREMBAN: Polis mengesan dua lagi kes yang disyaki mempunyai kaitan dengan penemuan rangka dipercayai milik kanak-kanak perempuan di Bukit Zamrud serta penemuan mayat wanita di Jalan Lama Bukit Putus, di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dua kes yang dikesan itu membabitkan penderaan terhadap seorang wanita berusia 35 tahun dan seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan.

"Pihak polis menyiasat secara menyeluruh dan menimbulkan lagi kes penderaan terhadap mangsa iaitu seorang wanita warga tempatan dan seorang kanak-kanak.

"Kedua-dua mangsa kini masih menerima rawatan dan lokasi mereka dirahsiakan," katanya tanpa mengulas lanjut kedua-dua kes terbabit.

Nanda bagaimanapun berkata, semua kes dalam proses pengumpulan bukti untuk melengkapkan siasatan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Khamis lalu polis dilapor menemui rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di lokasi sekitar Jalan Bukit Zamrud, selepas operasi pencarian dilakukan sejak 28 Mac lalu.

Pada 28 Mac lalu juga polis membawa seorang wanita dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus ke satu kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud bagi menunjukkan lokasi tempat kanak-kanak itu ditanam.

Bagaimanapun, polis ketika itu enggan mendedahkan tujuan pencarian berkenaan, namun mengesahkan kedua-dua kejadian itu mempunyai kaitan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Terdahulu, pada 21 Mac seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an yang sedang berjoging terkejut apabila menemui mayat wanita tanpa identiti ketika cuba merakam gambar di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus.

Berita Harian X