Selasa, 12 April 2022 | 12:10pm

Lans Koperal mengaku tidak salah terima rasuah

KUALA TERENGGANU: Lans Koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada dua individu yang terbabit dalam kes rogol.

Tertuduh, Norazmi Afiq Mohd Solleh, 27, yang bertugas di Balai Polis Dungun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai ejen iaitu Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Dungun didakwa menerima suapan RM2,500 dan RM2,000 masing-masing daripada Muhammad Aziq Qayyum Yusdi dan Mohd Humaidi Ashraf Hassan.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Muhammad Aziq Qayyum dan Mohd Humaidi Ashraf yang terbabit dalam kes rogol.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan dan di tapak pasar malam di Dungun masing-masing pada jam 3.15 petang 30 Mei 2021 dan jam 9.40 malam 23 Mei 2021.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan apabila didakwa meminta rasuah RM10,000 iaitu RM5,000 daripada Muhammad Aziq Qayyum dan RM5,000 daripada Mohd Humaidi Ashraf di daerah Dungun pada 19 Mei 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi,jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM pada setiap bulan antara 1 hingga 5 hari bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM,Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Najmi Adila Mat Nasir.

Lans Koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan kes rogol. Tertuduh, Norazmi Afiq Mohd Solleh, 27, yang bertugas di Balai Polis Dungun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali. - Foto GHAZALI KORI
Lans Koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan kes rogol. Tertuduh, Norazmi Afiq Mohd Solleh, 27, yang bertugas di Balai Polis Dungun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali. - Foto GHAZALI KORI
Berita Harian X