Selasa, 12 April 2022 | 11:14am
Keadaan treler yang terbabit kemalangan menyebabkan pemandunya maut selepas dihempap muatan tiang konkrit dibawa. - FOTO IHSAN JBPM
Keadaan treler yang terbabit kemalangan menyebabkan pemandunya maut selepas dihempap muatan tiang konkrit dibawa. - FOTO IHSAN JBPM

Pemandu treler maut dihempap muatan tiang konkrit dibawa

TAIPING: Seorang pemandu treler maut dihempap muatan tiang konkrit dibawa ketika kenderaan dipandunya itu terbabas di Kilometer 220 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima laporan kejadian jam 4.43 pagi tadi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati sebuah lori treler muatan tiang konkrit terbabas ke bahu jalan dengan pemandunya tersepit dan dihempap tiang konkrit yang dibawa.

"Pemandu berusia 33 tahun itu disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan dan tindakan mengangkat serta mengalihkan tiang konkrit dilakukan menggunakan jentera kren.

"Pihak bomba mengambil masa kira-kira lapan minit bagi mengeluarkan mangsa dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita Harian X