Isnin, 11 April 2022 | 5:20pm
Antara penunggang p-hailing yang dikenakan tindakan saman selepas dikesan menyalahi peraturan jalan raya dalam Operasi Khas di sekitar bandar raya ini. - Foto ihsan polis
Antara penunggang p-hailing yang dikenakan tindakan saman selepas dikesan menyalahi peraturan jalan raya dalam Operasi Khas di sekitar bandar raya ini. - Foto ihsan polis

'Hilang nyawa atau kejar trip banyak'

JOHOR BAHRU: Sikap penunggang motosikal khidmat penghantaran makanan atau p-hailing masih tidak berubah kerana majoritinya daripadanya dikesan mempertaruhkan nyawa dan membahayakan pengguna jalan raya semata-mata mahu mengejar 'trip'.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Johor, M Kumarasan, berkata pihaknya melakukan Operasi Khas secara berkala bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga memasuki fasa endemik, namun sikap penunggang e-hailing masih lagi tidak berubah.

Beliau berkata, menerusi operasi yang dijalankan di Jalan Abdullah Tahir, di sini, baru-baru ini secara puratanya kira-kira 30 hingga 40 penunggang p-hailing dikesan menunggang secara berbahaya dalam tempoh kurang sejam dan dikenakan tindakan kompaun.

Katanya, selain mengambil tindakan terhadap penunggang p-hailing, operasi itu juga bertujuan mendidik golongan berkenaan untuk mematuhi peraturan di jalan raya.

"Malangnya, ramai penunggang p-hailing masih sanggup menggadai nyawa mereka apabila berulang kali gagal mematuhi peraturan di jalan raya.

"Ada antara mereka yang menyatakan melanggar peraturan kerana tiada kehadiran polis ketika itu, malah majoritinya menyedari perbuatan mereka bersalah namun kerana mahu mengejar 'trip' menyebabkan kebanyakan penunggang motosikal p-hailing sanggup menggadaikan nyawa mereka.

"Antara kesalahan yang kerap dilakukan antaranya melanggar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit, menunggang motosikal dengan laju dan membelok kenderaan sesuka hati," katanya ketika dihubungi.

Kumarasan berkata, tindakan itu bukan saja merisikokan golongan itu kepada kemalangan, namun juga pengguna jalan raya lain.

"Berita kemalangan membabitkan penunggang p-hailing mengalami kecederaan parah, kecacatan kekal mahupun meninggal dunia sudah banyak kali dipaparkan media sama ada menerusi medium elektronik mahupun cetak.

"Selain tindakan oleh pihak berkuasa, semua syarikat pengendali perlu mengambil tindakan berdasarkan aduan diterima berikutan perbuatan penunggang p-hailing menjejaskan imej syarikat itu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, dua pertiga daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal dalam tempoh sembilan bulan pelaksanaan PKP pada tahun 2020 membabitkan penunggang p-hailing.

Berita Harian X