Ahad, 10 April 2022 | 6:11pm
PPM Wilayah Satu Langkawi merampas 200kg daun ketum yang disorok di bawah kanvas biru di bahagian hadapan sebuah sampan kayu. - Foto Ihsan PPM Wilayah Satu Langkawi
PPM Wilayah Satu Langkawi merampas 200kg daun ketum yang disorok di bawah kanvas biru di bahagian hadapan sebuah sampan kayu. - Foto Ihsan PPM Wilayah Satu Langkawi

200kg daun ketum dirampas

KANGAR: Sebanyak 200 kilogram (kg) daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand berjaya dirampas selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi menahan sebuah sampan kayu di Pulau Ketam, Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.30 pagi ketika peronda PPM sedang melakukan rondaan di sekitar sempadan maritim Malaysia-Thailand di perairan Kuala Perlis.

"Anggota kita mengesan sebuah sampan kayu yang berada dalam keadaan mencurigakan dikemudi oleh seorang lelaki dipercayai tekong sampan berkenaan.

"Panik akibat dikesan bot ronda polis marin, lelaki berkenaan memecut laju ke arah pantai sebelum meloloskan diri di kawasan hutan bakau berdekatan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap sampan itu menjumpai 20 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 200kg disorok di bawah kanvas biru di bahagian hadapan sampan kayu itu.

"Keseluruhan daun ketum dan sampan kayu berserta enjin dianggarkan bernilai RM 15,000," katanya.

Rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Berita Harian X