Jumaat, 8 April 2022 | 5:43pm
Bekas Perdana Menteri, Najib di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuah, beberapa hari lalu. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Bekas Perdana Menteri, Najib di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuah, beberapa hari lalu. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Najib meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas menghadiri perbicaraan. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Najib meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas menghadiri perbicaraan. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Najib mohon khidmat peguam kanan UK bulan depan

KUALA LUMPUR: Permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapat khidmat peguam kanan dari United Kingdom (QC), bagi mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi media, mengesahkan perkara itu selepas pengurusan kes di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Putrajaya secara maya, hari ini.

Menurut Mohd Ashrof, pembelaan akan memfailkan permohonan itu pada akhir bulan Mei ini dan memaklumkan akan merayu di Mahkamah Persekutuan, jika permohonan berkenaan tidak berjaya.

Menurut Mohd Ashrof, pendengaran rayuan akhir Najib hanya akan ditetapkan selepas permohonan untuk mendapatkan khidmat QC dalam rayuan akhir itu, diputuskan mahkamah.

"Peguam juga dikehendaki memaklumkan kepada mahkamah pada 18 April ini berhubung tarikh sesuai bagi QC untuk hadir pada prosiding rayuan akhir.

"Selain itu, pembelaan turut memohon lanjutan masa dua minggu lagi untuk memfailkan petisyen rayuan dan mahkamah mengarahkan peguam untuk memfailkan permohonan rasmi pada 11 April ini.

"Tarikh pengurusan kes selanjutnya belum ditetapkan, sementara menunggu permohonan lanjutan masa dan mengemas kini tarikh sesuai bagi kehadiran QC pada rayuan akhir," katanya.

Sementara itu, Mohd Ashrof berkata, rekod rayuan sudah diserahkan kepada kedua-dua belah pihak pada 31 Mac lalu.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC, iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan saja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mensabitkan dan mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho, bagi memudahkannya (Jho Low) menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Berita Harian X