Jumaat, 8 April 2022 | 12:24pm

Kelindan lori didenda RM2,100 melakukan ugutan bunuh, hina polis

IPOH: Seorang kelindan lori didenda RM2,100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan ugutan bunuh terhadap seorang lelaki dan menghina polis pada Disember lalu.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus menjatuhi hukuman itu terhadap G Patrick Dass, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah dengan niat menyebabkan kegentaran terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun, dengan ugutan hendak menyebabkan kematian, di sebuah rumah di Persiaran Tawas Permai 8, Taman Tawas Permai, di sini, jam 6.52 petang 19 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa berkelakuan aib dengan mengeluarkan perkataan 'mayiru' terhadap inspektor polis sedang menjalankan tugas di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kira-kira jam 8.30 malam 19 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan, tertuduh didakwa mengugut melalui telefon untuk memotong leher pengadu dan ibu pengadu, selain makian terhadap inspektor polis itu juga menerusi telefon.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi, manakala tertuduh diwakili peguam, J K Kala.

Kala memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya, dengan mengambil kira pendapatan bulanan tertuduh kira-kira RM1,200 sebulan, selain perlu menanggung isteri, ibu serta tiga anak berusia antara enam hingga 12 tahun.

Selain itu, ia turut mengambil kira reputasi tertuduh yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang rekod kes lampau dan memudahkan prosiding kes dengan mengaku bersalah.

Majistret kemudian memutuskan tertuduh dihukum denda RM2,000 bagi kesalahan atas pertuduhan pertama dan RM100 untuk pertuduhan kedua.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dipenjarakan selama empat bulan jika gagal menjelaskan denda bagi pertuduhan pertama, serta penjara 14 hari sekiranya gagal melunaskan denda bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan.

Kelindan lori, G Patrick Dass, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Ipoh, hari ini. - NSTP/L Manimaran
Kelindan lori, G Patrick Dass, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Ipoh, hari ini. - NSTP/L Manimaran
Berita Harian X