SHAH ALAM: Bekas eksekutif niaga tani Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Klang didenda RM8,000 atau penjara enam bulan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana tidak melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis berhubung suapan cek tunai bernilai RM5,000 pada Julai 2015.
Tertuduh, Mohd Jazid Md Jani, 52, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Jazid yang bertugas sebagai eksekutif niaga tani ketika itu diberikan suapan iaitu cek berjumlah RM5,000 yang telah ditunaikannya dari seorang individu sebagai dorongan membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja pembekalan baja cecair organik bagi input pertanian PPK kawasan Klang bernilai RM143,100.
Justeru, tertuduh melanggar peruntukan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) iaitu gagal melaporkan pemberian suapan itu kepada pihak SPRM atau pegawai polis yang paling hampir.
Tertuduh juga telah melanggar Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 25 (2) akta sama iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Mohd Jazid melakukan kesalahan itu di Jalan Kemboja 4B/2, Bukit Sentosa, Rawang pada 21 Julai 2015.
Terdahulu, Mohd Jazid yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah untuk mengurangkan denda yang dikenakan atas alasan dia sudah bertaubat.
Dia juga menguruskan ibunya yang berusia 80 tahun serta tiga anak termasuk dua yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti selepas kematian isteri pada tahun 2020.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab memohon hukuman yang setimpal kerana ia kesalahan yang serius dan kepentingan awam perlu diambil kira melebihi kepentingan tertuduh.
Sementara itu, Rozilah dalam penghakimannya memaklumkan pengakuan salah itu diharapkan akan menimbulkan insaf dan tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.
"Harap muhasabah diri, itu (perbuatan) tetap kesalahan walaupun insiden pada 2015. Ingat, rasuah ini jenayah akhir zaman," katanya.