Khamis, 7 April 2022 | 1:15pm

'Nuar Taman', 'Pendi Buaya' mati ditembak polis

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki yang maut ditembak polis di Kampung Wakaf Beruas berhampiran Kampung Simpang Tok Ku, di sini, Selasa lalu, merupakan suspek utama satu kes pembunuhan dan disyaki anggota sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di negeri ini serta Selangor sejak 10 tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata pihaknya sudah mengenal pasti identiti kedua-dua lelaki tempatan itu yang dikenali sebagai 'Nuar Taman' berusia 29 tahun berasal dari daerah ini, dan 'Pendi Buaya' berumur 25 tahun dari Marang.

"Seorang suspek terbabit mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala seorang lagi ada 11 rekod jenayah lampau juga berkaitan dadah.

"Malah, hasil siasatan turut mendapati mereka sangat dikenali dalam kalangan penagih dan pengedar dadah di beberapa daerah serta kawasan FELDA sekitar negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Terengganu antara Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar dengan Asisten Komisioner Suffian Sulaiman, di sini, hari ini.

Suffian yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu dengan pangkat Superintendan, dilantik sebagai KJSJ baharu selepas dinaikkan pangkat Asisten Komisioner, bermula hari ini.

Mohd Marzukhi pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian (Latihan/Peperiksaan/Kompetensi), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Dengan tertumpasnya kedua-dua suspek terbabit, Rohaimi berkata, polis percaya berjaya menyelesaikan kes seorang lelaki berusia 41 tahun ditembak mati pada 5 Mac lalu di Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu, dan beberapa kes berkaitan dadah.

Beliau berkata, susulan kejadian tembak-menembak antara 'Nuar Taman' dan 'Pendi Buaya' dengan polis, pihaknya juga merampas dua pucuk revolver .38 serta beberapa butir peluru di dalam kereta yang digunakan suspek.

"Polis juga menjumpai 20 peket plastik dadah disyaki syabu seberat lebih 1,000 gram (g) serta 14 botol kecil heroin seberat lebih 67g, dan jumlah keseluruhan dadah itu membawa kepada kes bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi Selasa lalu, kedua-dua suspek itu yang menaiki kereta jenis Honda dikatakan memecut kenderaan selepas menyedari diekori polis.

Suspek kemudian dilaporkan keluar dari kenderaan dan seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah polis sebelum mati ditembak di tempat kejadian.

Seorang lagi suspek pula dilapor meloloskan diri dan bersembunyi di dalam sebuah rumah kosong terletak kira-kira 300 meter dari lokasi dan enggan menyerah diri sebelum mati ditembak selepas melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

Dalam perkembangan lain, Rohaimi berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua ketua polis daerah supaya melakukan pemantauan terhadap penjualan mercun dan bunga api di daerah masing-masing, bagi memastikan hanya jenis tertentu yang dibenarkan dijual kepada orang ramai.

"Penjualan kepada individu bawah umur 18 tahun adalah satu kesalahan. Pemantauan akan dilaksanakan kerana kita tidak mahu ada insiden kecederaan atau kehilangan nyawa disebabkan kebakaran (mercun dan bunga api)," katanya.

Rohaimi (tengah) menyaksikan serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu oleh Mohd Marzuki (kiri) kepada Suffian di IPK Terengganu, hari ini. - FOTO BERNAMA
Rohaimi (tengah) menyaksikan serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu oleh Mohd Marzuki (kiri) kepada Suffian di IPK Terengganu, hari ini. - FOTO BERNAMA
Berita Harian X