Rabu, 6 April 2022 | 4:32pm
Tertuduh didakwa menjalankan proses kitar semula minyak hitam terpakai tanpa kelulusan JAS Selangor.- Foto/Ihsan JAS Selangor
Tertuduh didakwa menjalankan proses kitar semula minyak hitam terpakai tanpa kelulusan JAS Selangor.- Foto/Ihsan JAS Selangor

Ahli perniagaan didenda, dipenjara kitar semula minyak hitam

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan didenda RM135,000 serta penjara dua hari oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam kerana menjalankan proses kitar semula minyak hitam terpakai yang dikategorikan sebagai buangan terjadual tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua tahun lalu.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, hukuman berkenaan dijatuhi Hakim Jamaluddin Mat selepas tertuduh, Lim Chun Wai, 37, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

"Tertuduh yang menjalankan kegiatan menerima, menstor dan memproses buangan berkenaan di sebuah premis kosong, di Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya pada 15 Februari 2020 itu didakwa mengikut beberapa Seksyen iaitu Seksyen 18(1), Seksyen 19(a), Seksyen 34A(2) dan Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Kegiatan tertuduh berjaya dibongkar sepasukan pegawai penguatkuasa JAS Selangor selepas melakukan risikan selama seminggu susulan aduan penduduk sekitar tempat kejadian berkenaan pencemaran bau minyak dan pelarut yang menyesakkan nafas.

"Ketika serbuan didapati terdapat sisa minyak hitam yang dibuang dalam lurang kumbahan di premis terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan fakta kes yang dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa JAS Selangor, tertuduh didapati menjalankan proses kitar semula minyak hitam terpakai tanpa mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan tiada kelulusan lesen daripada JAS.

Katanya, jabatan itu memandang serius kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada penjenayah alam sekitar.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

"Orang awam juga diseru untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Berita Harian X