Rabu, 6 April 2022 | 10:12am

Penunggang motosikal kena samun, pukul awal pagi

SHAH ALAM: Seorang penunggang motosikal mendakwa bukan saja disamun, malah turut dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali di persimpangan lampu isyarat Persiaran Setia Dagang U13, Setia Alam, di sini, awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata insiden berlaku kira-kira jam 4.30 pagi ketika mangsa berusia 26 tahun yang dikatakan dalam perjalanan menghantar barang ke rumah rakan, sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

"Mangsa yang bekerja sebagai pemandu peribadi kemudian dikata memaklumkan kepada isterinya berhubung kejadian itu, sebelum laporan polis dibuat.

"Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami lebam di bahagian mata dan pipi serta luka pada tangan kanan dan kiri, dipercayai akibat dipukul dengan tangan dan topi keledar oleh suspek.

"Mangsa turut mengalami kerugian berikutan telefon bimbitnya jenis Huawei Nova 4, dompet mengandungi dokumen penting serta wang RM50, dan motosikal mangsa didakwa dilarikan kumpulan suspek terbabit," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohd Iqbal berkata, polis masih menyiasat punca kejadian, manakala usaha mengesan kumpulan lelaki berkenaan sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Mana-mana individu yang ada maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saiedayu melalui talian 03-55202222," katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video dalam media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipukul di persimpangan lampu isyarat Persiaran Setia Dagang U13, Setia Alam, oleh sekumpulan lelaki bermotosikal.

Berita Harian X