Selasa, 5 April 2022 | 5:39pm
Tangkap layar insiden kon tena jatuh menghempap lori di susur keluar SKVE di Pelabuhan Klang. - FOTO VIRAL
Tangkap layar insiden kon tena jatuh menghempap lori di susur keluar SKVE di Pelabuhan Klang. - FOTO VIRAL

Kontena jatuh jejambat hempap lori, pemandu selamat

PELABUHAN KLANG: Seorang pemandu lori nyaris maut selepas kenderaan dipandunya itu dihempap sebuah kontena yang terjatuh dari jejambat berdekatan susur keluar ke Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 49 tahun itu dalam perjalanan menuju Pulau Indah sebelum sebuah kontena yang membawa muatan kotak kitar semula jatuh dan terkena bahagian hadapan lori dipandunya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan jam 1.17 petang dan sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati sebuah kontena terjatuh dari atas jejambat yang dianggarkan setinggi 40 kaki (12 meter) dan menghalang laluan ke Pulau Indah.

"Difahamkan ketika kejadian, terdapat dua lori kontena melalui jalan berkenaan. Apabila kontena dari atas jejambat jatuh, ia menghempap belakang sebuah lori dan turut terkena bahagian hadapan lori yang dipandu lelaki berusia 49 tahun itu.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang membawa kontena bermuatan sarung tangan itu tersepit di tempat duduk kenderaan, namun berjaya dikeluarkan sebelum pasukan bomba tiba," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian di laman Facebook Trafic Info Crew, beberapa klip video memaparkan kejadian itu dimuat naik dan keadaan di kawasan terbabit mulai sesak.

"Menurut info diterima, sebuah lori kontena hilang kawalan semasa melalui selekoh di susur flyover (jejambat) SKVE, lalu terbalik di atas flyover (jejambat) menyebabkan muatan kontena yang dibawa jatuh ke bawah menghempap lori kontena lain.

"Laluan dari Westport (Pelabuhan Barat) menghala KESAS (Lebuhraya Shah Alam) terhalang sepenuhnya," tulisnya di Facebook.

Berita Harian X