Selasa, 5 April 2022 | 4:37pm

Polis tembak mati dua lelaki

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Simpang Tok Ku di sini hari ini.

Dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian jenayah dan dadah ditemukan mati di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu dan Bukit Aman melakukan rondaan Op Kesan sebelum terserempak dengan sebuah kereta Honda Civic yang memandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Wakaf Beruas di sini.

Beliau berkata, pasukan itu kemudiannya mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan namun terus melarikan diri sebelum pihaknya bertindak mengejar kenderaan suspek.

Katanya, selepas hampir dua kilometer mengejar kenderaan dinaiki suspek, polis berjaya menghalang kenderaannya sebelum seorang daripada suspek melepaskan tembakan ke arah polis.

"Anggota kita membalas tembakan berkenaan sebelum seorang penjenayah ditemukan mati di dalam kereta manakala seorang lagi suspek melarikan diri.

"Bagaimanapun, anggota kita berjaya mengejar suspek yang bersembunyi di dalam sebuah rumah kosong yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian tembakan pertama.

"Kita mengepung rumah berkenaan dan mengarahkan suspek menyerah diri namun enggan berbuat menyebabkan kita mengambil tindakan menyerbu ke dalam rumah itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Wan Rukman berkata, suspek bertindak agresif apabila melepaskan tembakan ke arah polis namun terkena penghadang sebelum pasukan membalaskan tembakan berkenaan dan mengenai suspek.

Beliau berkata, suspek maut di tempat kejadian dan pihaknya sedang mengenal pasti identiti kedua-dua suspek termasuk senjata yang digunakan.

Anggota Unit Polis Forensik memeriksa kenderaan yang dinaiki dua suspek yang maut ditembak polis dalam kejadian di Kampung Simpang Tok Ku. - Foto GHAZALI KORI
Anggota Unit Polis Forensik memeriksa kenderaan yang dinaiki dua suspek yang maut ditembak polis dalam kejadian di Kampung Simpang Tok Ku. - Foto GHAZALI KORI
Berita Harian X