Selasa, 5 April 2022 | 2:56pm
Zaizul (tengah) menunjukkan rampasan pil kuda dan ketum dalam dua serbuan berasingan di Kampung Selinsing di Pasir Puteh pada Khamis lalu. - NSTP/ NOR AMALINA ALIAS
Zaizul (tengah) menunjukkan rampasan pil kuda dan ketum dalam dua serbuan berasingan di Kampung Selinsing di Pasir Puteh pada Khamis lalu. - NSTP/ NOR AMALINA ALIAS

Lelaki ditahan jadikan rumah sewa lokasi proses ketum

PASIR PUTEH: Seorang lelaki ditahan selepas menjadikan rumah sewanya di Selinsing, di sini, sebagai tempat untuk memproses ketum.

Suspek, 20, ditahan jam 4.40 petang Khamis lalu bersama 50 kilogram daun ketum, 50 liter bungkusan air ketum dan 1,600 pil disyaki dadah jenis Epam dengan nilai keseluruhan RM20,200.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria mengesahkan penahanan lelaki itu mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Suspek yang tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau ditahan untuk siasatan dan hari ini, dia dibawa ke Mahkamah Pasir Puteh untuk pertuduhan," katanya.

Dalam kes berasingan, Zaizul berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 32 dan 45 tahun bersama 803 biji pil kuda dan 1 botol serbuk dipercayai dadah jenis heroin di kampung sama pada Khamis lalu.

Mengulas lanjut, katanya bertindak atas maklumat awam, polis melakukan serbuan dan menahan dua lelaki terbabit yang menaiki kereta jenis Honda CRV.

"Hasil pemeriksaan, tiga pil kuda dan sebotol serbuk berisi heroin ditemui pada beg di pinggang salah seorang suspek, manakala empat paket biru berisi 800 pil kuda ditemui dalam bungkusan plastik bawah papan pemuka kereta," katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek disahkan mempunyai 17 rekod lampau membabitkan kes dadah dan dua rekod jenayah, manakala seorang lagi mempunyai empat rekod berkaitan dadah.

Katanya, rampasan membabitkan nilai RM8,030 itu boleh membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika suspek didapati bersalah.

"Kedua-dua suspek kini direman sehingga 7 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X