Selasa, 5 April 2022 | 1:55pm
Mercun dan bunga api yang dirampas anggota PGA7 di Jalan Tunjong-Pasir Mas, di sini, jam 9.15 malam tadi. - Foto Ihsan PGA7
Mercun dan bunga api yang dirampas anggota PGA7 di Jalan Tunjong-Pasir Mas, di sini, jam 9.15 malam tadi. - Foto Ihsan PGA7

Mercun, bunga api bernilai lebih RM30,000 dirampas

PASIR MAS: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 40 bungkusan mercun pelbagai jenis dan 1,208 kotak bunga api bernilai RM35,692 di Jalan Tunjong-Pasir Mas, di sini, jam 9.15 malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata ketika kejadian anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak sebuah kereta Perodua Kelisa dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota menahan kereta berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa sebelum meminta dokumen pengenalan diri pemandu, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun.

"Hasil siasatan di dalam kenderaan, menemui beberapa karung guni dan juga kotak berisi mercun serta bunga api yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang dan but kereta terbabit.

"Susulan penahanan itu, pada jam 11 malam, anggota kemudian membuat pemeriksaan di kediaman suspek di Kampung Kenjing, Repek, di sini, yang mana turut menemui lebihan mercun serta bunga api di dalam stor rumahnya.

"Suspek berkenan ditahan manakala kereta serta mercun dan bunga api dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Beliau berkata, kesemua mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari negara jiran, Thailand, untuk dipasarkan di sekitar Pasir Mas atas faktor permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan.

"Peningkatan kes penyeludupan berkaitan mercun dan bunga api sudah dapat dijangka sepanjang Ramadan memandangkan ia mendapat banyak permintaan, justeru pihak kami mengambil langkah mempergiatkan lagi kawalan agar kegiatan berkenaan dapat dibanteras.

"Penyeludup biasanya membawa masuk barangan ini menggunakan jalan sungai melalui pangkalan haram yang ada di sepanjang Sungai Golok, pada waktu tengah malam bagi memastikan aktiviti mereka tidak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Berita Harian X