Selasa, 5 April 2022 | 12:06pm
 Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bekas inspektor tak mengaku terima suapan RM500

ALOR SETAR: Seorang bekas pegawai polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menerima rasuah RM500 pada 2015.

Mohamad Hilmi Abd Hamid, 38, yang berpangkat inspektor ketika dituduh melakukan jenayah berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Bekas Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling terbabit didakwa secara rasuah menerima wang RM500 sebagai dorongan bagi membantu seorang lelaki positif morfin hanya menjalani hukuman pengawasan dan tidak dihantar ke pusat pemulihan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di depan kedai makan Cili Merah, Kampung Ceruk Bemban, Kupang, pada jam 3.45 petang, 17 April 2015 dan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000. Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam, S Parameswaran.

Mohd Zulfadli memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 dan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sepanjang perbicaraan, namun Parameswaran merayu jaminan RM10,000.

Kata peguam berkenaan, anak guamnya sudah meletak jawatan sebagai pegawai polis dan bertugas sebagai pegawai keselamatan di Perai, Pulau Pinang dengan pendapatan RM3,000 sebulan sejak 2019, perlu menyara isteri dan dua anak masih bersekolah selain membantu menjaga ibu kandung dan ibu mentua.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 selain perlu menyerahkan pasport dan melapor diri dua bulan sekali di Pejabat SPRM Sungai Petani. Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 22 Mei

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan ditetapkan di Kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Berita Harian X