Isnin, 4 April 2022 | 9:39pm
Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin menunjukkan antara barang tiruan berjenama yang dirampas pada sidang media Operasi Barang Tiruan di Stor Eksibit KPDNHEP Kuala Lumpur di Segambut, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin menunjukkan antara barang tiruan berjenama yang dirampas pada sidang media Operasi Barang Tiruan di Stor Eksibit KPDNHEP Kuala Lumpur di Segambut, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Hidayah Bahaudin

Premis menjual barang tiruan berjenama diserbu

KUALA LUMPUR: Ketika orang ramai mulai giat membuat persiapan menjelang Aidilfitri, satu sindiket didalangi warga Bangladesh dan Pakistan cuba mengambil kesempatan menjual barang tiruan berjenama bagi mengaut keuntungan.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket berkenaan tidak lama selepas sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur bersama wakil pemilik cap dagangan membuat serbuan ke atas empat premis di sekitar ibu negara pada 29 Mac lalu.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, tiga premis yang diserbu adalah pemborong yang beroperasi di kompleks pemborong terkemuka Jalan Kenanga, manakala satu lagi premis adalah gudang di Taman Kencana di sini.

"Hasil serbuan dilakukan di empat premis berkenaan, kami berjaya merampas dan menyita sebanyak 22,207 barangan disyaki tiruan terdiri daripada pakaian dan kasut berjenama.

"Barang yang dirampas bernilai lebih RM850,000, manakala semua suspek termasuk dalang melarikan diri meninggalkan premis ketika serbuan," katanya pada sidang media Operasi Barang Tiruan di Stor Eksibit KPDNHEP Kuala Lumpur di Segambut, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, siasatan awal mendapati tiga premis pemborong terbabit turut menjual barangan tiruan dalam talian di seluruh negara.

"Kami percaya semua barangan tiruan itu diimport dari negara Asia Selatan sebelum disimpan di gudang berkenaan sebelum diedar kepada pemborong dan peruncit untuk pasaran di ibu negara.

"Bagi pakaian tiruan berkenaan, ia diperoleh dengan kos RM10 hingga RM40 dan dijual pada harga RM25 hingga RM80 sehelai di pasaran ibu negara," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Berita Harian X