Isnin, 4 April 2022 | 8:42pm
Keadaan motosikal mangsa (Allahyarham Haidir Idris, 23 gambar kecil) yang terbabit kemalangan di Kampung Paku, Alor Gajah.
Keadaan motosikal mangsa (Allahyarham Haidir Idris, 23 gambar kecil) yang terbabit kemalangan di Kampung Paku, Alor Gajah.

Anggota tentera maut nahas

MELAKA: Seorang anggota tentera terbunuh selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan kereta di Kampung Paku, Alor Gajah di sini. petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, Haidir Idris, 23, dari Kampung Berembang Batu 3 1/2 Jalan Ampang, Ampang, Selangor, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata ketika kejadian, kereta Proton Saga itu dipandu seorang wanita berusia 31 tahun dari arah Lendu menghala ke Alor Gajah.

Katanya, mangsa yang bertugas di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang, di sini, menunggang motosikal Yamaha LC dari arah Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah.

Anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati penunggang motosikal dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga bertembung kereta terbabit di tengah jalan.

"Kesan darah dikesan di permukaan jalan, kesan calar, kesan pecahan di antara dua lorong dan kesan brek motosikal sejauh 4.6 meter.

"Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat," katanya dihubungi di sini, hari ini.

Keadaan kereta yang terbabit kemalangan.
Keadaan kereta yang terbabit kemalangan.

Arshad berkata, pemandu kereta yang juga suri rumah tidak mengalami kecederaan dan diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk membuat laporan polis.

"Motosikal dan kereta ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer bagi pemeriksaan kerosakan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X