Isnin, 4 April 2022 | 3:08pm

'Tiada maaf bagimu, penjenayah alam sekitar'

TAWAU: Seorang lelaki warga Filipina dihukum penjara empat tahun dan denda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah memiliki organ penyu hijau (chelonia mydas) tanpa permit.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, turut memerintahkan tertuduh, Suryan Sah Mohd Edi, 31, yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) menjalani hukuman penjara dua tahun jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 13 keping plastron bersama 25 keping sisik marginal hasil haiwan spesies penyu hijau yang dilindungi sepenuhnya mengikut senarai dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bangau-Bangau, Semporna pada 10 pagi, 29 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(1)(a) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Awang Kerisnada ketika menjatuhkan hukuman berkata, kesalahan dan perbuatan tertuduh yang disifatkan sebagai penjenayah alam sekitar, tidak boleh dimaafkan.

"Ini enam tahun penjara (empat tahun hukuman asal, dua tahun jika gagal bayar denda), tiada maaf bagimu penjenayah alam sekitar.

"Kalau mahkamah tidak tegas maka lama-kelamaan hidupan liar di laut akan pupus, ini amaran keras kepada penjenayah alam sekitar lain.

"Item rampasan yang ditemukan bersama tertuduh sewaktu kejadian seperti kapak dan tukul ini juga, sudah menunjukkan yang penyu ini dibunuh dengan kejam," katanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Abdul Karim Dakog, dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan kes pembunuhan penyu adalah kesalahan serius selain mendapat perhatian dunia luar termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, perbuatan tertuduh bukan sahaja mengakibatkan kepupusan spesies penyu malah memberi gambaran buruk terhadap imej penduduk dan Sabah di mata dunia.

"Ia menunjukkan seolah-olah kita tidak bersungguh-sungguh dalam mencegah aktiviti pemburuan haram," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Suryan Sah Mohd Edi, 31, dipenjara empat tahun dan denda RM200,000 selepas mengaku bersalah memiliki organ spesies penyu hijau. - NSTP/ABDUL RAHEMANG TAIMING
Suryan Sah Mohd Edi, 31, dipenjara empat tahun dan denda RM200,000 selepas mengaku bersalah memiliki organ spesies penyu hijau. - NSTP/ABDUL RAHEMANG TAIMING
Berita Harian X