Ahad, 3 April 2022 | 3:22pm
Dadah jenis ganja yang dirampas pasukan PGA7 dalam serbuan di sebuah kedai runcit dan rumah di Kampung Air Asahan, semalam. - Foto ihsan PGA7
Dadah jenis ganja yang dirampas pasukan PGA7 dalam serbuan di sebuah kedai runcit dan rumah di Kampung Air Asahan, semalam. - Foto ihsan PGA7

PGA7 rampas rokok dipercayai seludup, ganja lebih RM25,000

TANAH MERAH: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 32,800 batang rokok bernilai RM24,600 yang dipercayai diseludup dari negara jiran, dalam serbuan di sebuah kedai runcit dan rumah di Kampung Air Asahan, Batu Gajah, di sini, semalam.

Turut dirampas dalam operasi itu ialah dadah jenis ganja seberat 239 gram dianggarkan bernilai hampir RM600, selain telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM5,939.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata dalam kejadian jam 9 malam tadi, pasukan juga menahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang mengaku sebagai pemilik kedai runcit itu dan mendiami rumah berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati rokok dan dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui jalan tidak diwartakan, untuk pasaran di sekitar Tanah Merah.

"Hasil rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Azhari memaklumkan sepanjang tempoh tempoh dua minggu penugasan PGA7 dalam Ops Wawasan Kelantan, pihaknya berjaya menumpaskan 62 kes penyeludupan dengan nilai rampasan lebih RM2.6 juta.

"Ia membabitkan kes penyeludupan rokok, dadah, barangan kontraban, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan banyak lagi. Nilai rampasan setakat ini menunjukkan keberhasilan pegawai dan anggota dalam menjalankan tugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Walaupun bertugas ketika Ramadan kini, beliau berkata, pasukan tetap memberikan komitmen terbaik dalam mengawal sempadan, terutama bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

Berita Harian X