Sabtu, 2 April 2022 | 12:57pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Guru ditahan kes dera empat murid

MUAR: Polis mengesahkan sedang menyiasat terhadap seorang guru tadika yang dipercayai mendera empat kanak-kanak yang juga muridnya di sebuah tadika swasta di Muar, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata penahanan wanita berusia lewat 50-an itu dilakukan selepas suspek berkenaan menyerah diri di balai polis, semalam.

"Siasatan dilakukan susulan ibu kepada salah seorang mangsa mempunyai satu rakaman video yang memaparkan anaknya telah didera oleh guru berkenaan.

"Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor sedang menjalankan siasatan berkaitan kejadian penderaan di sebuah tadika swasta di Muar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahurinain berkata, hasil siasatan mendapati guru tadika berkenaan didakwa bertindak mengasari dengan mendera empat murid lelaki berusia tiga hingga lima tahun.

"Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar bagi pemeriksaan perubatan.

"Suspek kini direman selama enam hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, suspek disyaki telah melakukan perbuatan berkenaan sejak November tahun lalu yang berlarutan hingga bulan lalu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita Harian X