Jumaat, 1 April 2022 | 8:04pm
Sebahagian selipar dan kasut yang dipercayai tiruan yang dirampas dalam serbuan di Bachang, Melaka. - FOTO IHSAN KPDNHEP
Sebahagian selipar dan kasut yang dipercayai tiruan yang dirampas dalam serbuan di Bachang, Melaka. - FOTO IHSAN KPDNHEP

KPDNHEP rampas 4,277 kasut, selipar tiruan

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 4,277 kasut dan selipar disyaki tiruan bernilai kira-kira RM85,710 dalam serbuan di sebuah premis di Bachang, di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar berkata, serbuan jam 12 tengah hari itu hasil risikan seminggu ke atas premis yang dijadikan stor barangan tiruan jenama terkenal.

"Ketika serbuan premis yang dipercayai aktif sejak sebulan lalu itu ditutup, namun pemeriksaanmenemukan 4,277 unit kasut dan selipar yang menggunakan cap dagangan palsu.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM85,710 dan semua barangan disita dibawa ke stor KPDNHEP untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norena berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 30-an yang disyaki pemilik barangan berkenaan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

"Modus operandi bagi kes ini adalah menyasarkan penjualan secara dalam talian melalui platform tersedia, dengan pemilik barangan menumpukan jualan kepada pengguna terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1) (c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Norena pada masa sama menyarankan pengguna menjadi 'mata dan telinga' KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan.

Sebarang pertanyaan atau aduan boleh disalurkan melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari antara 8 pagi hingga 6 petang, selain WhatsApp di talian 019-279 4317.

Berita Harian X