Jumaat, 1 April 2022 | 5:39pm

Denda RM80,000 guna dokumen palsu

KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM80,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, selepas mengaku salah menggunakan dokumen palsu bagi membekalkan peralatan pejabat di sebuah jabatan di negeri ini.

Tertuduh, Koh Mui Huck, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan pertuduhan, Mui Huck pada 7 Jun 2017 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu surat daripada sebuah syarikat bertarikh 6 Jun 2017 yang diketahuinya sebagai palsu.

Dokumen itu digunakan untuk menipu bagi perkhidmatan membekal dan menghantar pelbagai jenis toner Lexmark bagi kegunaan JPN.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang bekerja sendiri mengaku bersalah atas satu pertuduhan alternatif dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM80,000 dan jika gagal membayarnya akan dipenjara selama enam bulan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Dzulkarnain Rousan Hasbi dan tertuduh diwakili peguam Chong Kian Ming.

Berita Harian X