Jumaat, 1 April 2022 | 5:30pm

Polis tahan 11 anggota sindiket, rampas syabu dan ganja bernilai RM1.2 juta

GEORGE TOWN: Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan jaringan pengedaran antarabangsa, susulan penahanan 11 suspek melalui dua operasi berasingan awal minggu ini.

Melalui dua operasi sama, polis merampas sejumlah 184.65 kilogram (kg) syabu dan ganja bernilai hampir RM1.2 juta.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua sindiket dikesan aktif sejak awal tahun ini dan dipercayai mendapatkan bekalan dari negara jiran sebelum memasarkannya di negeri ini.

Mengulas operasi pertama, beliau berkata, pihaknya menahan seorang nelayan berusia 35 tahun di atas bot di Tanjung Asam, Teluk Kumbar di Balik Pulau dekat sini pada malam Isnin lalu.

Hasil pemeriksaan, katanya polis menemui 20 paket syabu seberat 21,020 gram bernilai RM756,720 dalam sebuah bot yang dipercayai baru tiba di negeri ini dari negara jiran.

"Dalam serbuan susulan, seorang warga asing berusia 44 tahun yang juga seorang mekanik, ditahan bagi membantu siasatan berhubung perkara itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, berdasarkan rampasan, stok syabu terbabit dipercayai boleh digunakan kira-kira 105,000 penagih di pasaran.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta bernilai RM10,000 bagi membantu siasatan, menjadikan nilai rampasan keseluruhan RM766,720.

Ujian saringan air kencing ke atas lelaki tempatan itu mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala warga asing terbabit negatif.

Dalam operasi kedua pula, Shuhaily berkata ia membabitkan sembilan serbuan di sekitar kawasan ini dan Sungai Petani di Kedah pada Rabu, dengan sembilan suspek termasuk dua wanita berusia antara 25 dan 55 tahun.

Beliau berkata, serbuan terbabit membawa rampasan keseluruhan 163.65 kg ganja bernilai RM409,125 yang dipercayai boleh digunakan kira-kira 327,400 penagih jika terlepas ke pasaran.

"Turut dirampas lapan kenderaan bernilai RM215,500, empat barang kemas bernilai RM9,050, tiga jam tangan bernilai RM5,000 dan wang tunai berjumlah RM8,000," katanya mengesahkan nilai rampasan termasuk dadah berjumlah RM643,675," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan lanjut mendapati dadah itu dibawa masuk dari negara jiran dan melalui Perlis sebelum ke Pulau Pinang melalui jalan darat untuk dipasarkan di seluruh negeri.

"Ujian air kencing ke atas tiga lelaki dan seorang daripada wanita itu mengesahkan mereka positif Tetrahydrocannabinol, manakala yang lain negatif.

"Empat daripada mereka yang ditahan mempunyai rekod lampau dalam dadah dan jenayah," katanya.

Kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan antara dadah dirampas melalui dua operasi sekitar Pulau Pinang dan Kedah. - FOTO NSTP/DANIAL SAAD
Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan antara dadah dirampas melalui dua operasi sekitar Pulau Pinang dan Kedah. - FOTO NSTP/DANIAL SAAD
Berita Harian X