Jumaat, 1 April 2022 | 4:37pm
Sebahagian 24 PATI warga Myanmar ketika ditahan di sebuah rumah di Bunut Payong, di sini, yang dijadikan lokasi transit oleh tekong darat. - FOTO IHSAN PGA
Sebahagian 24 PATI warga Myanmar ketika ditahan di sebuah rumah di Bunut Payong, di sini, yang dijadikan lokasi transit oleh tekong darat. - FOTO IHSAN PGA

24 PATI ditahan ketika sembunyi di rumah transit

KOTA BHARU: Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika bersembunyi di sebuah rumah dipercayai dijadikan sebagai lokasi transit di Bunut Payong, di sini awal pagi tadi.

Semua PATI terdiri 22 lelaki dan dua wanita berusia antara 18 hingga 41 tahun itu dipercayai ditempatkan di rumah terbabit oleh tekong darat selepas dibawa masuk secara haram dan menunggu untuk dibawa ke destinasi berikutnya.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi, berkata penahanan dilakukan susulan serbuan kira-kira 2.15 pagi oleh sepasukan anggota Batalion 7 dan 9 PGA.

"Pemeriksaan lanjut mendapati semua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan permit perjalanan sah.

"Mereka dipercayai memasuki negara ini melalui jalan tidak diwartakan iaitu melalui pangkalan haram di sempadan negara Malaysia-Thailand," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Azhari berkata, hasil siasatan awal mendapati semua PATI dikenakan bayaran RM4,000 oleh tekong yang menguruskan perjalanan mereka dari Myanmar ke Malaysia.

Katanya, mereka dipercayai akan dibawa ke Pulau Pinang bagi tujuan mencari pekerjaan.

"Semua PATI ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

"Saya menyeru masyarakat memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan," katanya.

Berita Harian X