Jumaat, 1 April 2022 | 1:07pm

Remaja didakwa bunuh kanak-kanak

KUANTAN: Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun pada bulan lalu.

Remaja lelaki berumur 16 tahun itu didakwa menyebabkan kematian Muhammad Hafdan Mohd Qurbani Azhar di Surau An-Nadwah Kompleks Asrama Cempaka Permata Camar, Jalan Pantai Sepat, di sini, antara jam 3.45 hingga 4.15 petang 20 Mac lalu.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Majistret Ainis Abu Hassan Shaari menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadhlin Hani Khairon, manakala remaja terbabit diwakili peguam, Datuk Mohd Najid Husain.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut, dipercayai selepas disepak, dicekik dan dihempas oleh seorang individu dalam kejadian yang didakwa membabitkan wang RM4.

Bagaimanapun Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, dilaporkan berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan di kepala. – BERNAMA

Berita berkaitan:

  • Muhammad Hafdan anak yang baik
  • Hentakan di kepala punca kematian kanak-kanak 11 tahun
  • Budak 11 tahun maut dibelasah rakan asrama
  • Berita Harian X