Jumaat, 1 April 2022 | 12:49pm
Mohd Nazree dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Seremban, hari ini. - NSTP/AHMAD HASBI
Mohd Nazree dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Seremban, hari ini. - NSTP/AHMAD HASBI

Pemandu didakwa tinggalkan kanak-kanak dalam van, sebabkan kematian

SEREMBAN: Seorang pemandu van didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya pada tahun lalu.

Mohd Nazree Uzir, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan pengabaian dengan meninggalkan kanak-kanak dalam jagaan serta kawalan tertuduh, di dalam sebuah van jenis Kia Pergio miliknya sehingga mendatangkan kematian ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah van yang berada di hadapan sebuah rumah di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Seri Sendayan, di sini, antara jam 2.45 hingga 5.30 petang 12 Oktober 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung, manakala tertuduh diwakili peguam, Noliana Ali Othman.

Dalam pada itu, Noliana memohon supaya wang jaminan terhadap tertuduh dikurangkan berikutan anak guamnya mempunyai seorang isteri dan dua anak, selain hilang pendapatan susulan kes berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dilarang mengganggu keluarga mangsa sehingga kes selesai, selain menetapkan sebutan semula kes pada 9 Mei depan.

Media pada Oktober tahun lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan autisme ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia, dipercayai selepas terkurung di dalam sebuah van selama kira-kira tiga jam di hadapan sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan.

Berita Harian X