Jumaat, 1 April 2022 | 11:47am
TLDM menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama 23 kru warganegara itu yang dikesan menceroboh perairan Pulau Tioman, Pahang, semalam. Foto ihsan TLDM
TLDM menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama 23 kru warganegara itu yang dikesan menceroboh perairan Pulau Tioman, Pahang, semalam. Foto ihsan TLDM

TLDM tahan bot, 23 nelayan Vietnam

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama 23 kru warganegara itu yang menceroboh perairan negara di kedudukan 13 batu nautika utara Pulau Tioman, Pahang, pagi semalam.

Bot nelayan asing itu dikesan Kapal Diraja (KD) Ganyang ketika sedang melaksanakan rondaan hasil perkongsian maklumat daripada Persatuan Nelayan Endau pada jam 10.36 pagi.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut berkata, pihaknya sebelum itu mengesan keberadaan dua bot nelayan Vietnam.

Katanya, KD Ganyang berjaya menahan sebuah bot nelayan, manakala sebuah lagi bot sudah beredar meninggalkan kawasan itu ke arah utara.

"Hasil pemeriksaan mendapati 23 orang tekong dan awak-awak warga Vietnam tidak mempunyai dokumen penangkapan ikan yang sah.

"Mereka ditahan atas kesalahan menceroboh perairan negara dan mengaut khazanah negara secara haram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua awak-awak dan bot berkenaan dibawa ke Tambatan Pangkalan TLDM Kuantan untuk proses selanjutnya.

Penahanan itu membuktikan keupayaan TLDM menangani ancaman perairan negara selain memastikan setiap pencerobohan dikenakan tindakan undang-undang.

"TLDM akan mengekalkan inisiatif perkongsian maklumat bersama komuniti maritim. Kita tidak berkompromi terhadap sebarang ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara pada setiap masa," katanya.

Berita Harian X